Friday, July 24, 2015

Kerajaan Dinasihat Tambahkan Lagi Derita Rakyat



NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


8 Syawwal 1436 | 24 Julai 2015

KERAJAAN DINASIHAT TAMBAHKAN LAGI DERITA RAKYAT

Berikut merupakan tindakan ‘tidak popular’ Kerajaan Malaysia untuk menambah derita kewangan dan kos sara hidup rakyat;

1. 19 Mac 2015

a) Kenaikan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus.

b) Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 25 sen seliter.

2. 1 April 2015

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan 6 peratus.

3. 15 Mei 2015

Kenaikan kadar tambang bas ekspres 22.6 peratus.

4. 1 Jun 2015

Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter.

5. 1 Julai 2015

Kenaikan harga petrol RON95 10 sen seliter dan RON97 sebanyak 20 sen seliter.

DPPWP tidak sabar menunggu pengumuman baru yang akan diumumkan oleh kerajaan pada bulan Ogos hingga Disember tahun ini. Kami ingin melihat sejauhmana kepedulian kerajaan dalam mengurangkan kos sarah hidup rakyat di negara ini.

Sebelum rakyat menyambut Hari Raya ‘Aidilfitri, telah terdengar desas desus kenaikan kadar tol pada bulan Ogos depan. Kelmarin, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pula meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menaikkan kadar tambang perkhidmatan tren.

DPPWP menjangkakan Pengerusi SPAD akan mengikut telunjuk Prasarana sepertimana yang telah berlaku sebelum ini kepada pengusaha bas ekspres dan teksi. Kami tidak meletakkan harapan terhadap Pengerusi SPAD untuk menangguhkan kenaikan kadar tambang perkhidmatan tren tersebut.

Kerajaan dinasihat untuk terus menambah derita rakyat sepanjang tahun ini. Rakyat sudah celik maklumat dan akan menilai segala tindakan kerajaan. Rakyat akan bersuara tidak lama lagi. Enough is Enough!

Sekian, terima kasih.

 



--

Ahli PAS Diseru Agar Istiqamah Dalam Perjuangan - Cikgu Mala



KENYATAAN MEDIA :
AHLI PAS DISERU AGAR ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN.

Ahli Pas diseru agar terus istiqamah dengan kelangsungan perjuangan walaupun cabaran yang mendatang dalam menongkah arus perjuangan semakin hebat.
Di saat 'sinar kemenangan' di hadapan mata , janganlah ada yang tidak sabar dan bersifat gopoh hingga 'menebuk' bahtera kerana tidak yakin dengan wadah parti Pas yang telah diperjuangkan selama 60 tahun lamanya.
Saya ingin melahirkan rasa sedih dan dukacita atas tindakan segelintir pimpinan tertinggi parti sesi 2015 -2017 yang kini menggerakkan usaha ke arah penubuhan Gerakan Harapan Baru meskipun , masih bergelar ahli PAS dan AJK PAS di peringkat cawangan , kawasan , negeri atau pusat.
Ada sebahagian daripada mereka merupakan 'idola' saya dalam perjuangan tetapi keputusan mereka berpindah ke wadah parti baharu dan meninggalkan PAS tidak akan saya turuti.Walaupun begitu , keputusan mereka saya hormati kerana itu hak masing -masing walaupun jauh di sudut hati , saya cukup kecewa.
Berundurlah secara terhormat dan meletakkan jawatan secara berprosedur tanpa menunggu penajaan parti baharu diluluskan oleh ROS.
Bagi ahli PAS di Negeri Johor khususnya, saya ingin beri ingatan agar jangan menjadi 'gunting dalam lipatan ' dengan menarik ahli keluar parti dengan menggunakan jawatan yang diamanahkan dalam muktamar , dalam pada masa yang sama masih kekal sebagai ahli Pas.Itu sikap hipokrit dan sikap tidak berintegriti dalam parti.
Adalah lebih baik, berundur secara baik secepat mungkin supaya segala gerakerja PAS tidak direncatkan dengan sikap segelintir dari mereka yang tidak bertanggungjawab.
Saya juga ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin tertinggi negeri dalam parti yang menggunakan aplikasi whatsApp AJK Parti PAS, dengan menyebarkan maklumat tentang kewujudan parti baru untuk mempengaruhi pemikiran dan pendirian YDP dan Ketua Muslimat Kawasan , agar berpindah ke wadah parti baru.Ada juga mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan sehingga menjejaskan matlamat whatsApp rasmi parti itu diwujudkan.
Kemungkinan juga suatu 'Muktamar Khas' bakal berlaku sekiranya ada kalangan besar AJK Dewan Muslimat Negeri Johor , Dewan Pemuda Pas Johor meletak jawatan. beramai -ramai untuk berpindah ke parti baharu.Apa pun , kita akan bersedia atas segala kemungkinan .


Salam hormat :
Pn.Normala Bt.Sudirman (Cikgu Mala)
AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia
AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.

8 Syawal 1436H/24 Julai 2015





--

“RASIONAL”kah Harga Petrol Bulan Ogos Ini? - Dewan Ulama



Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

“RASIONAL”KAH HARGA PETROL BULAN OGOS INI?

1. Penetapan harga petrol pada setiap bulan memang akan sentiasa mendapat perhatian rakyat. Perubahan walapun sekadar dalam kiraan sen, ia tetap memberikan kesan yang sangat signifikan kepada para pengguna.

2. Ini kerana terdapat 780,000 buah kenderaan berdiesel dan 18 juta buah kenderaan berpetrol di atas jalan raya di Malaysia. Sejumlah 23% daripada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia pula adalah dibelanjakan untuk pengangkutan.

3. Pada harga runcit petrol sekarang, sekurang-kurangnya golongan berpendapatan rendah membelanjakan RM322.50 dan golongan berpendapatan sederhana membelanjakan RM645.00 sebulan untuk menanggung kos bahan api kenderaan mereka sahaja belum termasuk kos tol dan penyelenggaraan.

4. Berikut adalah sedikit sorotan isu penentuan harga runcit minyak di negara kita :

(i) 29 September 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa sistem baru rasionalisasi subsidi minyak akan dilaksanakan bermula Januari 2015 bagi diesel dan April 2015 bagi petrol. Sehingga September 2014, RON95 dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter selepas kedua-duanya mengalami kenaikan sebanyak 20 sen bermula September 2013.

(ii) 1 Oktober 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi minyak dikurangkan sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel berkuatkuasa serta merta bermula 2 Oktober 2014 menjadikan harga runcit bagi kedua-kedua bahan api itu meningkat kepada RM2.30 dan RM2.20 masing-masing untuk bulan Oktober dan November.

(iii) 21 November 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi untuk RON95 dan diesel akan dihapuskan bermula 1 Disember 2014 dan harga kedua-dua bahan api ini akan ditentukan secara sistem harga apungan terkawal (managed float system) sama seperti yang digunakan untuk menentukan harga runcit RON97 yang telah dihapuskan subsidinya bermula 16 Julai 2010. Sehingga Februari 2015, rakyat berpeluang menikmati harga runcit minyak yang rendah iaitu RM1.70 bagi RON95 dan diesel.

5. Namun, rakyat hanya dapat mengecapinya hanya buat sementara waktu sahaja. Itupun berikutan kesan kejatuhan harga minyak mentah global. Keupayaan harga minyak mentah global untuk kembali mengukuh adalah positif dalam perkiraan Kerajaan walapun sehingga buat masa ini ia masih belum stabil. Kesempatan inilah subsidi dihapus dan harga runcit minyak pula diapung berdasarkan harga minyak mentah global. Maknanya beban kewangan ini Kerajaan serahkan langsung kepada rakyat untuk ditanggung.

6. Bermula 1 Mac 2015, RON97, R0N95 dan diesel mula mengalami kenaikan. Jika pada Mac 2015 harga runcit masing-masing ialah RM2.25, RM1.95 dan RM1.95, namun pada Julai 2015 harganya ialah RM2.55, RM2.15 dan RM2.05 iaitu kenaikan sebanyak 55 sen, 45 sen dan 35 sen seliter masing-masing.

7. Ditambah dengan kenaikan ini lagi ialah pelaksanaan cukai GST bermula April 2015, kenaikan pelbagai kos sara hidup dan nilai matawang Ringgit yang semakin melemah iaitu kini berada pada paras RM3.81 dan dijangka mencecah RM4.01 bagi setiap USD1 menjelang September ini.

8. Kesannya, rakyat tidak mempunyai lebihan wang untuk menyimpan, pendapatan boleh guna juga semakin berkurang dan kuasa membeli semakin mengecut justeru inflasi semakin meningkat. Tekanan dan bebanan ini amat dirasai oleh rakyat Malaysia.

9. Skandal berprofil tinggi melibatkan pemimpin utama negara dan syarikat-syarikat milik Kerajaan sehingga mencetuskan spekulasi pasaran mengeruhkan lagi persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa negara kita.

10. Dalam keadaan ‘worst case scenario’ sekalipun dengan ramalan Ringgit bernilai RM3.9983 bagi setiap USD1 dan harga minyak mentah dunia pula USD56 setong, sekurang-kurangnya RON95 boleh dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter bagi bulan Ogos ini dan saya percaya sebenarnya ia boleh berharga lebih rendah daripada itu.

11. Persoalannya ialah kenapa bebanan kos bahan api ini dibebankan sepenuhnya kepada rakyat sedangkan rakyat telah menikmati subsidi sejak puluhan tahun? Adakah kerana "rasionalisasi" sebagaimana bahasa manis yang digunakan oleh Kerajaan atau kerana pendapatan negara terbesar yang bersumber daripada hasil minyak ini telah digunakan pada tempat dan cara yang tidak patut? Rakyat berhak menilainya dengan penuh prasangka. Sama-sama kita nantikan “rasional”kah harga petrol bulan ogos ini?

Sekian.



DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Jumaat, 24 Jul 2015 | 8 Syawal 1436 H





--

Penganjuran Konsert Tidak Senditif Keadaan Semasa - Khalil Hadi



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

PENGANJURAN KONSERT TIDAK SENSITIF KEADAAN SEMASA


1. DPPM membantah penganjuran konsert “BigBang 2015 World Tour [MADE] in Malaysia” yang dijadualkan berlangsung pada hari esok, Sabtu, 25 Julai 2015 bermula jam 6.00 petang di Stadium Putra, Bukit Jalil.

2. Bantahan ini adalah amat patut lebih-lebih lagi apabila pihak penganjur, IME Production dengan bangganya mengumumkan satu konsert tambahan akan diadakan oleh kumpulan BigBang pada hari ini, Jumaat, 24 Julai 2015 bermula jam 8.30 malam juga di Stadium Putra, Bukit Jalil.

3. Konsert ini juga difahamkan mencatatkan rekod penganjuran yang termahal bagi siri MADE World Tour. Dilaporkan bahawa kos penyediaan pentas yang akan digunakan oleh BigBang sahaja sudah mencecah RM1 juta. Harga tiket pula dijual pada harga RM288 hingga RM798 mengikut enam kategori berbeza.

4. DPPM juga melahirkan kekecewaan kerana konsert ini disokong oleh Malaysia Major Events iaitu merupakan sebuah bahagian di bawah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC).

5. Sebagai mewakili Kerajaan, sewajar dan sepatutnya pihak Kementerian mengawal industri hiburan dan mendidik rakyat dengan budaya hiburan yang tidak melalaikan atau merosakkan.

6. Sekurang-kurangnya insiden beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium dahi oleh penyanyi K-pop dari kumpulan B1A4 dalam satu konsert yang diadakan pada awal tahun ini dijadikan pengajaran penting supaya ia tidak lagi berulang.

7. Dalam keadaan negara menghadapi masalah dalam segenap sektor politik, ekonomi dan sosial, maka adalah amat buruk dan hodoh sekali apabila Kerajaan mengajak rakyat untuk berhibur sakan. Kita pula masih berada dalam bulan Syawal dan penganjuran konsert ini telah mencemarkan kemuliaan bulan ini.

Sekian.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Jumaat, 24 Jul 2015 | 8 Syawal 1436 H

Thursday, July 23, 2015

Berani saman Harakahdaily, tapi tak berani saman WSJ?



Berani saman Harakahdaily, tapi tak berani saman WSJ?

Mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih berdolak-dalih dalam mengemukakan saman malu terhadap Wall Street Journal sebagaimana yang dilakukannya kepada Harakahdaily?

Walhal, impak yang dikemukakan WSJ di dalam Bahasa Inggeris dibaca di seluruh dunia dibandingkan impak artikel di Harakahdaily dalam Bahasa Malaysia yang hanya dibaca rata-rata rakyat Malaysia.


Malah, artikel di WSJ bukan sahaja mencemar imej Najib, malah negara kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Atau sebenarnya tindakan memohon penjelasan daripada WSJ hanya sekadar membeli masa untuk menimbulkan isu sensasi yang baru seperti bagi mengalih rakyat daripada apa yang ditimbulkan WSJ?

Apakah akan ada dakwaan balas bahawa WSJ juga melaporkan sesuatu berdasarkan maklumat yang telah diubahusai?

Najib tidak boleh berdalih lagi. Jika melibatkan beliau sahaja, tak apa. Tapi kesan kontroversi ini kini dirasai seluruh rakyat jelata dengan impaknya terhadap keyakinan negara dan juga nilai Ringgit.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Julai 2015